Anugerah Pejuang Bahasa


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.


Kami daripada Lajnah Pendidikan PAS Pusat (LPPP) merakamkan ucapan tahniah dan berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang turut serta di dalam perarakan raksasa membantah pelaksanaan dasar PPSMI pada 07 Mac baru-baru ini. Kebanjiran rakyat dalam perarakan 100 ribu pada hari tersebut menunjukkan keprihatinan dan cakna masyarakat terhadap isu pendidikan negara yang dilihat semakin parah.

PAS secara agresifnya telah memulakan bantahan awal PPSMI ini sejak beberapa tahun yang lalu. Ini berikutan anak Menteri Besar Perak, DS Ir Nizar Jamaluddin yang berusia 10 tahun bersama beberapa orang pelajar telah memfailkan saman terhadap Kerajaan Persekutuan dan juga Kementerian Pendidikan kerana telah melanggar Perlembagaan negara yang memelihara Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Dasar PPSMI ini juga dilihat telah menyebabkan sebilangan besar para pelajar khususnya kaum Melayu tercicir dalam mencapai kecemerlangan pada kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Demi kedaulatan negara dan perpaduan rakyat serta pembelaan terhadap nasib anak bangsa kita di masa hadapan, PAS merasa terpanggil untuk terus memberi sokongan kepada para pejuang bahasa dan menyatakan pendirian yang serupa dengan mereka dalam membantah dasar PPSMI. Kita harus menyedari bahawa Fasal 152 Perlembagaan Negara dengan rakusnya telah dicabul oleh pihak kerajaan sekian lamanya dengan yang mutakhir ini berkaitan isu PPSMI.

Sehubungan dengan itu, sebagai penghargaan, PAS telah memilih dua orang tokoh pejuang bahasa yang komitmen menyatakan bantahan mereka terhadap pelaksanaan dasar PPSMI untuk diberikan anugerah dalam satu majlis yang dinamakan sebagai Anugerah Pejuang Bahasa. Majlis yang julung kalinya diadakan itu akan berlangsung selepas Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke 55 awal Jun ini di Shah Alam, Selangor darul Ehsan.

Mereka yang terpilih adalah antara tokoh-tokoh yang memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Mereka konsisten berhadapan dengan pelbagai ancaman daripada pihak berkuasa. Mereka juga sanggup turun bersama rakyat untuk mendapat sokongan dalam perjuangan melestarikan bahasa ibunda.

Dengan adanya penganugerahan ini, PAS berharap mereka akan dijadikan sebagai contoh dalam menyuntikkan semangat serta ruh perjuangan rakyat bagi menjayakan cita-cita untuk melihat kecemerlangan anak bangsa dalam bidang pendidikan negara.



Dato’ Abu Bakar Chik,

Pengerusi LPPP.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Powered By Blogger | Design By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top