Pelancaran Skuad Kawan Didik, Terengganu


Memandangkan gejala sosial yang semakin parah dan berleluasa serta kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menerajui pemerintahan negara menangani keruntuhan moral masyarakat terutamanya yang melibatkan generasi muda, maka Parti Islam SeMalaysia (PAS) merasa untuk mengambil tanggungjawab bagi menangani gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.

Gejala keruntuhan akhlak masyarakat hanya akan dapat ditangani dengan dua cara iaitu; melalui pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang. Perkara ini perlu digerakkan dari peringkat akar umbi. Sehubungan dengan itu, Lajnah Hal Ehwal Pendidikan PAS Pusat (LHP) akan melancarkan satu skuad sukarelawan yang diberi nama Sukarelawan Pendidikan Rakyat (Kawan Didik) bagi menjayakan tugas “amar maaruf nahi mungkar” dalam masyarakat.

Untuk menjayakannya, majlis pelancaran Skuad Kawan Didik peringkat negeri Terengganu akan diadakan pada 20 Mei 2009 ini (Rabu), bertempat di Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT), Tok Jiring, Kuala Terengganu. Majlis pelancaran ini akan disempurnakan oleh YBh. Dato' Haji Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Majlis yang serupa juga turut diadakan di Semporna, Sabah pada dua hari yang lepas (17 Mei 2009).

LHP berharap agar Skuad Kawan Didik dapat ditubuhkan seberapa segera di semua negeri dan menjadi salah satu daripada badan sosial PAS yang menggerakkan massa.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Powered By Blogger | Design By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top