Kenyataan Media: Seminar Pendidikan Islam Malaysia Kontemporari 2009

Bismillahirrahmannirrahim.

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Fenomena pembaratan budaya dan akhlak masyarakat Malaysia kini semakin hari kian membarah serta makin jauh dari nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh Islam. Arus pembaratan terancang yang teramat licik ini secara disedari ataupun tidak telah melanda hampir kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan tidak mengenal siapa.

Tidak cukup dengan serangan yang dilancarkan melalui media arus perdana terutamanya di media elektronik dengan rancangan hiburan yang kebanyakannya tidak bersifat tauhidik, ghazwatul fikr atau yang kita sebut sebagai serangan pemikiran itu juga telah meresapi ke dalam sistem pendidikan negara yang bertanggungjawab melenturkan nilai insani anak-anak bangsa yang bakal menjadi generasi pelapis kepimpinan negara.

Melihat kepada keadaan yang semakin membimbangkan ini, Lajnah Hal Ehwal Pendidikan PAS Pusat (LHP) telah mengambil inisiatif dengan merangka satu seminar sebagai jalan alternatif dalam usaha menongkah arus pembaratan yang sedang rancak menjalar terutamanya ke dalam sistem pendidikan masa kini. Seminar Pendidikan Islam Malaysia Kontemporari Peringkat Kebangsaan 2009 akan dianjurkan oleh LHP pada 14 dan 15 Mac 2009 dan dijadualkan akan berlangsung di Maahad Tahfiz wal Tarbiyyah Darul Iman, Tok Jiring, Kuala Terengganu.

Antara objektif utama yang ingin dicapai dalam seminar yang bertemakan `Menangani Kelangsungan Pendidikan Ummah` ini ialah:

* Mewujudkan kesedaran terhadap pendidikan Islam Malaysia kontemporari,
* Membantu pembangunan pendidikan Islam Haraki semi formal peringkat kebangsaan
* Melahirkan kepimpinan pendidikan di dalam masyarakat
* Mengadakan pendekatan untuk pendidikan bersepadu / tahfizul Quran sebagai alternatif
* Mengajak masyarakat mendepani isu-isu pendidikan Islam semasa

Selain jemputan kepada para pendidik yang berkhidmat dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS), seminar ini turut menjemput serta membuka ruang penyertaan kepada pemikir-pemikir pendidikan Malaysia, para guru, para pegawai serta bekas-bekas pegawai pendidikan, majlis pendidikan, sekolah-sekolah, NGO, dan juga terbuka kepada mana-mana individu yang berminat.

LHP yang bertindak sebagai badan penganjur seminar ini begitu mengharapkan penyertaan daripada masyarakat dan juga institusi-institusi pendidikan terutamanya kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam arena pendidikan negara. Diharapkan dengan seminar ini dapat kita gemblengkan tenaga serta bahu membahu dalam usaha menyedarkan masyarakat terhadap peri-pentingnya pendidikan Islam demi kepentingan ummah dan negara.

Sekian. Wassalam.

Dato’ Abu Bakar Chik,
Pengerusi LHP.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Powered By Blogger | Design By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top